PERUTUSAN TAHUN BARU 2006


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih & Maha Penyayang
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera kepada semua.

Pertamanya saya mengambil kesempatan ini dengan melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberikan rahmat yang tidak terhingga kepada kita semua.

Marilah kita sama-sama memasuki tahun baru 2006 dengan penuh keinsafan dan keazaman untuk memperbaiki diri dan organisasi, selaras dengan  tuntutan yang diletakkan di atas bahu kita semua.

Pengurusan yang dedikasi lagi cekap, di samping sumber manusia yang berhemah mulia, berpengetahuan serta berkemahiran amatlah diperlukan di dalam memacu pembangunan negeri. Usaha ke arah mempertingkatkan pengurusan yang cemerlang dengan peningkatan kemahiran sumber manusia dalam jabatan perlu dipupuk dan diberi penekanan yang tinggi. Usaha yang berterusan perlu dibuat untuk melatih semua peringkat kakitangan menjadi lebih kompeten bagi melaksanakan bidang tugas masing-masing. Adalah menjadi keperluan asas bagi kita semua 'to update knowledge and expertise’ sesuai dengan kehendak semasa. Kita perlu mengamalkan budaya pembelajaran berterusan dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, khususnya yang berkaitan dengan tugasan seharian.

Tahun 2006 adalah tahun pertama kita melangkah masuk di dalam RMK- 9 ( Rancangan Malaysia Ke Sembilan).Semua peringkat di jabatan perlu membuat persediaan yang terbaik untuk memastikan segala program, projek dan aktiviti yang telah dirancang dapat dilaksana bagi memenuhi matlamat seperti mana yang disasarkan. Kita perlu mengambil ikhtibar dari kelemahan yang lalu agar ianya tidak berulang disamping mempertingkatkan lagi kekuatan yang sedia ada.

Pembangunan negeri sangat bergantung kepada kemampuan kita semua untuk menyediakan infrastruktur utama yang menjadi  ’core business’ kepada jabatan kita seperti pembinaan rangkaian jalanraya, kemudahan sekolah, klinik kesihatan, kompleks pejabat dan sebagainya.

Setiap daripada kita perlu mempunyai kesedaran tentang pentingnya melaksanakan tugas melalui semangat kerja secara berpasukan. Pada masa yang sama kita juga perlu mewujudkan jalinan dan hubungan yang baik dengan  jabatan dan agensi lain, khususnya yang berkaitan rapat dengan fungsi dan keperluan jabatan.

Mulai 1hb.Januari 2006 , bahagian Bekalan Air akan dipisahkan daripada JKR Negeri, iaitu dengan tertubuhnya Jabatan Bekalan Air Negeri  Kedah. Penubuhan jabatan baru ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan untuk memberikan tahap perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Tindakan ini akan membolehkan JKR Negeri berfungsi dengan lebih berkesan melalui penumpuan sepenuhnya kepada sektor jalan dan bangunan.

Pada tahun ini juga, Negeri Kedah akan menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Sukan Malaysia SUKMA ke XI yang akan berlangsung pada 24hb.Mei  2006 sehingga 4hb.Jun 2006. Penglibatan JKR Negeri secara langsung khususnya di dalam penyediaan beberapa kemudahan sukan yang akan dipertandingkan memerlukan semua pegawai dan kakitangan jabatan ini memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan kejayaan sukan ini kelak.

Selain daripada penglibatan kita di dalam menjalankan tugasan seharian, penglibatan di dalam aktiviti luaran, umpamanya melalui Kelab Sukan dan Kebajikan, perlu juga diberikan perhatian yang sewajarnya. Aktiviti sosial sebegini akan dapat mempertingkatkan kecergasan mental  serta  fizikal dan hubungan baik di antara semua lapisan kakitangan JKR Kedah .

Akhir kata saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga JKR Kedah secara keseluruhannya yang telah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan program dan aktiviti jabatan yang dirancang, dengan jayanya. Saya yakin dengan iltizam yang tinggi bersandarkan kesedaran untuk berbakti akan dapat memacu JKR Kedah untuk mencapai objektif dan misinya

Sekian, Selamat Tahun Baru dan Selamat Maju  Jaya.
Wassalam wbt.

 

Baharanuddin Bin Che Zain  B.C.K.
Pengarah JKR Negeri Kedah

 

 

 

 

2 hb.Januari 2006  

perutusan sebelum ini